Saturday, February 6, 2010

Setan 3 serangkai ~Rakam, sebar klip video aksi keji~

"Dalam video itu, dia hanya mampu menjerit dan meraung meminta tolong..." cerita Laili, 25, mengenai nasib rakannya yang diperkosa bergilir-gilir oleh tiga lelaki. Gara-gara klip video menjijikkan itu, kini gadis terbabit yang juga graduan sebuah IPTS, mengasingkan diri di rumah keluarganya di Negeri Sembilan.

Sekeluarga Menyisih Diri
Malu akibat klip video anak gadis diperkosa 'tiga binatang' bergilir-gilir


Kuala Lumpur: Tragis apabila seorang gadis berusia 20 tahun diperlakukan bagaikan haiwan oleh tiga lelaki durjana yang memperkosanya bergilir-gilir sebelum aksi itu dirakam dan kini diedar secara meluas melalui telefon bimbit dengan judul 'Kena Rogol'.

Lebih malang, bukan saja gadis terbabit yang juga graduan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengalami tekanan perasaan, malah perlakuan tiga lelaki berhati binatang itu turut menyebabkan seluruh anggota keluarganya kini menyisihkan diri daripada masyarakat kerana malu selepas aksi kejadian dipercayai berlaku Oktober tahun lalu, tersebar melalui telefon bimbit.

Kisah hitam gadis berkenaan didedahkan kenalannya hanya mahu dikenali sebagai Laili, 25, yang simpati namun buntu untuk memujuk remaja terbabit membuat laporan polis.

"Ketika pulang ke kampung di Negreri Sembilan baru-baru ini, saya bercadang mengunjungi mangsa, namun dihalang anggota keluarga yang tidak mahu anak gadis mereka diganggu.

"Kerana tidak puas hati, saya bertanya kepada adik gadis itu sebelum ditunjukkan satu video klip selama 2 minit ditelefon bimbitnya yang menunjukkan aksi kakaknya 'dikerjakan' tiga lelaki," katanya ketika ditemui semalam.


Menurutnya, klip video itu tersebar di Kampungnya menyebabkan anggota keluarga mangsa malu lalu mengasingkan diri dari masyarakat.

"Dalam video terbabit, mangsa tanpa seurat benang dipaksa tiga lelaki melakukan seks dengan tangannya dipegang. Dia yang bertubuh kecil hanya mampu menjerit dan meraung meminta tolong, namun tidak dihiraukan."

"Walaupun cuba melarikan diri, dia diheret dua lagi lelaki. Tak tergamak saya melihat dia menangis meminta simpati, tetapi ketiga-tiga 'binatang' itu seolah-olah hilang akal," katanya.

Ketika aktiviti jahat itu dilakukan, mereka memasang lagu dengan kuat bagi memastikan jeritan mangsa tidak didengari orang lain.

"Saya difahamkan kejadian berlaku di Kuala Lumpur kerana ketika itu mangsa masih bekerja di sini. Selepas itu mangsa pulang ke kampung dan enggan keluar rumah"

"Dia lebih banyak bersendirian dalam biliknya, begitu juga ahli keluarganya yang tidak banyak bercakap berbanding sebelum ini,"katanya.

Laili berkata, perasaan benci bercampur geram melihat keadaan mangsa membuatkan dia ingin menemui gadis terbabit, namun keluarganya bertegas memintanya jangan mencampuri urusan mereka.

Lebih menyakitkan hati apabila keluarga gadis itu enggan membuat laporan polis kerana malu.

"Saya pernah bertanyakan keluarga mengapa mereka tak mahu membuat laporan polis, namun ibu saya menyatakan mereka malu dan tidak mahu apa yang berlaku menjadi bualan lebih ramai penduduk kampung. "

"Mereka lebih rela mendiamkan perkara ini kerana bimbang diketahui. Saya simpati dengan apa yang berlaku, namun tidak tahu cara terbaik yang perlu dilakukan bagi membantunya," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk membantu mangsa kerana bimbang perkara itu menjejaskan masa depan mangsa atau lebih malang gadis lain pula menjadi mangsa tiga syaitan bertopengkan manusia itu.

Dipetik dari
Harian Metro, Sabtu, 6 Februari 2010

No comments:

Post a Comment

Post a Comment